Saturday, August 6, 2011

Paderi Masuk Islam kerana berjumpa nabi Isa?

30 Julai 2011 lalu sewaktu menghadiri seminar perubatan Islam Kiswah di Kolej Profesional MARA Bandar penawar, saya telah bertemu dengan seorang bekas paderi Kristian Singapura berbangsa cina yang turut sama mengikuti program tersebut. Teruja hati untuk bertanya beliau bagaimana seorang paderi yang pastinya memiliki ilmu kristian yang mendalam boleh 'terjerat' hatinya untuk menganut agama Islam yang sememangnya menjadi musuh tradisinya selama ini.

Pada mulanya saya merasakan tentunya kisah yang bakal saya dengar merupakan kisah - kisah biasa di corong - corong radio terutama yang sering diperdengarkan di IKIM.Fm tentang kenapa saya menganut islam. Namun cerita yang didengari kali ini cukup berbeza!

Menurut beliau pada suatu pagi ketika beliau dalam keadaan separuh sedar, beliau yang kini bernama Mohd firdaus bin Abdullah atau Peter Khoo, nama asal sebelum memeluk Islam telah di datangi seorang hamba Allah yang tingginya melebihi 6 kaki dengan jambang hingga ke paras dada berwarna keperang-perangan mendakwa dirinya Nabi Isa. Ketika itu beliau melihat hamba Allah yang berpakaian jubah serba putih ini dengan raut wajah yang amat tenang dan jernih begitu mempersonakannya. Namun beliau kehairanan apabila melihat jam di dinding gereja tepat pukul 4 pagi terus tidak bergerak seolah-oleh mati kaku apabila muncul kelibat hamba Allah yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabi Isa itu. Masa seolah-olah terhenti seperti ada sesuatu yang menghentikannya. Beliau ketika itu meyakini itulah nabi isa, jesus kristian yang sebenar.

Namun Hamba Allah itu menjelaskan tujuan kehadirannya turun dari langit adalah atas perintah Allah kerana ingin membetulkan akidah beliau. Agak kehairanan timbul di fikiran beliau kerana agama yang sedang dianuti ini tentunya ajaran jesus yang dibawa oleh nabi Isa yang sedang berdiri di hadapan beliau. Persoalan itu lantas diperjelaskan oleh Nabi Isa bahawa semua itu adalah pembohongan semata - mata untuk menyesatkan akidah manusia oleh Syaitan Laknatullah.

Beliau kaget seketika lalu mempersoalkan bukankah Isa di salib!. Hamba Allah itu kemudian menjelaskan sebelum dakwaan mengatakan beliau di salib, Allah telah mengangkatnya ke langit dan dengan izin Allah seorang yang iras wajah Isa disalibkan.

Saya lantas bertanya kepada saudara Firdaus, apakah bahasa yang digunakan ketika pertemuan itu. Beliau menjelaskan tiada sebarang komunikasi berlaku tetapi hanya menggunakan bahasa hati kerana masing - masing memahami interaksi tersebut.

Selepas pertemuan hampir 30 minit itu, beliau memaklumkan kepada saya yang jam di dinding gereja yang pada asalnya 4 pagi selama 3 hari tidak bergerak walaupun telah digantikan bateri yang baru. Beliau kemudian menceritakan kepada ketua paderi di situ tentang segala yang berlaku sambil mempersoalkan benarkah dakwaan hamba Allah yang mendakwa Nabi Isa itu tentang pembohongan kristian itu. Jawapan yang diberi ketua paderi tersebut ternyata mengukuhkan lagi penipuan Kristian bila mana dia mengakui agama yang sedang dianuti itu telah lari daripada Kitab Injil asal yang dibawa oleh nabi Isa. Malah ketua paderi itu menasihatkan agar tidak terlalu memikirkan sangat kerana yang penting periuk nasi mereka terjaga.

Saya cuba mengandaikan betapa cerita saudara Firdaus ini mungkin satu ' cerita yang dibuat-buat' tetapi bila dihayati, dilihat wajah dan perawakan beliau, saya dapat rasakan beliau jujur dalam menceritakan apa yang menimpanya. Subhanallah bertuahnya saudara Firdaus kerana dapat bertemu mata dengan insan pilihan Allah iaitu Nabi Isa Alaihissalam. Saya kemudian melihat satu petikan ayat al-Quran untuk mengesahkan kisah saudara Firdaus itu. Dalam Surah An-Nisaa’ : 157 & 158 berbunyi

"Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.(157)

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (158)

Ternyata apa yang diceritakan oleh saudara Firdaus bertepatan dengan apa yang dinyatakan al-Quran.

Kini, saudara Firdaus telah bekerja di salah sebuah syarikat cat di Ulu Tiram dan giat mendalami ilmu - ilmu keagamaan. Semoga penghijrahan beliau ke dalam Islam kekal hingga akhir hayat dan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT.

No comments:

Post a Comment