Monday, August 3, 2009

Ragam pemikiran manusia

Assalamualaikum kepada rakan pembaca sekelian. Semoga kalian yang membaca tinta ini diberkati Allah hendaknya. Dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi satu kisah tentang kejahilan manusia yang kalau dilayan boleh menyebabkan kita terpengaruh malah tergelincir akidah, Nauzubillahhiminzalik.

Suatu petang saya mendapatkan rawatan urut akibat kemalangan kecil di 'rumah'. Sambil berurut saya berbual dengan lelaki Indonesia yang sudah hampir 6 tahun menetap di Malaysia. Permulaan bicara, dia bertanya kepada saya tentang pandangan saya mengenai kes pengeboman di Jakarta baru-baru ini hingga menyebabkan pemain bola sepak 'MU' membatalkan hasrat bermain di Indonesia dalam siri jelajah Asia. Saya secara peribadi berpandangan tindakan nekad mengebom hotel bukan langkah yang patut dilakukan kerana banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa. Lagipun Islam tidak menuntut tindakan sedemikian dilakukan. Soal penentuan status sama ada yang dilakukan itu 'jihad' atau sebaliknya hanya Allah jua yang Mengetahui. Saya tidak ada hak untuk menghukumnya. Pandangan saya dipersetujui 'Bang Romie',tukang urut warga Indonesia itu yang sependapat dengan saya.

Beliau bertanya saya sama ada sudah makan atau belum. Saya lantas menjawab yang saya berpuasa sunat Isnin. Beliau mempersoalkan puasa sunat Isnin dengan sebaliknya mengatakan puasa yang sunah ialah waktu hari Lahir kita memandangkan baginda berpuasa hari Isnin kerana kelahiran baginda pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun gajah. Saya tersenyum dan hanya termangu sambil mendiamkan diri.

Beliau bercerita pula tentang 'solat Jumaat'. Berdasarkan ajaran 'Guru' beliau sewaktu di Indonesia dikawasan Jawa Tengah (Bang Romie ini berasal dari Jawa Tengah), solat Jumaat bukan termasuk dalam solat Fardhu. Maka solat 'Jumaat' tidak perlu dilakukan di masjid sebaliknya boleh dilakukan bila - bila masa sama ada selepas asar atau maghrib atau bila-bila. Justeru, solat zohor mesti dilaksanakan. Saya terus terpinga tapi tetap mengukirkan senyuman tanda merespon perbicaraan Bang Romie itu.

Telinga saya pula kali ini terdengar nama 'Ayah Pin' disebut oleh Bang Romie. Wah, glamour juga Ayah Pin hingga orang Indonesia di Malaysia mengenalinya. Bang Romie menyatakan kekecewaan kerana Ayah Pin dicerca ramai orang sedangkan beliau ini patut diberi ruang berdakwah kepada agama lain. Ini kerana bagi Bang Romie, Ayah Pin wajar diberi pengikhtirafan kerana penganut agama lain menyanjungi beliau hinggakan kalau sesiapa yang pernah melihat vcD 'Ayah Pin, akan terkejut melihat sami India dan beberapa orang penganut agama Hindu minum air dalam bekas yang diletakkan susu lembu dengan kaki ayah pin berada dalamnya sambil dikalungkan bunga tanda pengikhtirafan sewaktu di Batu Caves.

Wah, terkejut lagi saya dan seperti biasa saya masih terpinga sambil ukiran senyuman tanda merespon bicara Bang Romie.

Kali ini beliau bercerita pasal Tsunami di Acheh. Katanya bencana Tsunami di Acheh adalah balasan kerana di sana adalah pusat tembakau terbesar dan merupakan hasil kepada Acheh. Itu saya tidak terpinga kerana mungkin ada benarnya dan anggukan pertama saya beri tanda bersetuju dengan Bang Romie.

Rawatan berurut akhirnya selesai. Saya kemudiannya mengucapkan terima kasih pada Bang Romie sambil melangkah keluar dengan beberapa kebimbangan. Adakah ramai yang berpandangan seperti 'Bang Romie'?...Terlalu mudah umat Islam tergelincir bila ilmu asas agama amat kurang sebaliknya dipelajari membabi buta. Renung-renungkanlah. Wallahhualam.

3 comments:

  1. Kenapa tak sekolahkan jer Si Bang Romie tu...
    -MMS-

    ReplyDelete
  2. hmmmm...sapa nak perbetulkan itu semua

    ReplyDelete
  3. hakikatnya tanggungjawab kita tu cuma jangan mudah terpengaruh dengan dakyah seperti itu.

    ReplyDelete